![]() |
| MANGSA parah ditetak kerana membunyikan HON kereta petang semalam |
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki parah akibat ditetak hanya
kerana membunyikan hon kereta apabila terkejut dengan tindakan suspek mencelah
ketika trafik sesak di Jalan Buluh Gading, di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 41 tahun sebelum itu dikatakan dalam
perjalanan menuju ke Besut bersama isteri dan dua anaknya sebelum tersangkut
dalam kesesakan trafik di lokasi kejadian kira-kira jam 3.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten
Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah, berkata sebaik tiba di lokasi sebuah kereta
PERODUA Kancil dinaiki dua lelaki secara tiba-tiba mencelah di hadapan mangsa
menyebabkan mangsa membunyikan hon atas tindakan suspek itu.
Katanya, tindakan mangsa menyebabkan suspek keluar dari
kenderaannya dengan bersenjatakan sebilah parang panjang.
"Mangsa turut keluar dari keretanya dan berlaku
pergelutan antara kedua-dua mereka masing-masing jatuh ke semak berhampiran.
"Orang awam yang melihat kejadian cuba membantu
meleraikan pergelutan itu namun suspek bergegas meninggalkan lokasi dengan
menaiki keretanya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tadi.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di
bahagian lengan kiri dan kepala dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah
(HSNZ) untuk rawatan lanjut.
"Polis sudah mengenal pasti suspek berikutan penemuan
sebuah telefon bimbit dipercayai milik suspek dan kini dia sedang
dijejaki," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun
Keseksaan.

Post a Comment