KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.6 juta penjawat awam dan sejuta
pesara kerajaan akan menerima bonus masing-masing sebanyak RM500 dan RM250,
esok.
Pemberian ini membabitkan peruntukan RM645 juta, selaras pengumuman
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2016 di
Dewan Rakyat, pada 23 Oktober lalu.
Berdasarkan pekeliling dikeluarkan Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini, pemberian itu bukan sahaja membabitkan
pegawai awam lantikan tetap, malah kakitangan kontrak. Ia termasuk pegawai
lantikan sementara, perkhidmatan dalam kontrak, guru interim dan pegawai sambilan
harian (PSH), tertakluk kepada syarat. Bagi kakitangan yang meninggal dunia
antara 1 Januari hingga 31
Disember 2015, mereka turut layak menerima pemberian
RM500 tertakluk kepada beberapa syarat termasuk sudah berkhidmat
sekurang-kurangnya 30 hari. Selain pemberian itu, penjawat awam juga akan
menerima beberapa lagi insentif lain yang terkandung dalam Bajet 2016. Ia
termasuk menaik taraf skim perkhidmatan yang akan memberi manfaat kepada
406,000 kakitangan serta penetapan gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan
Awam kepada RM1,200 sebulan, bakal memanfaatkan 60,000 penjawat awam.
Langkah-langkah yang dijadualkan dilaksanakan pada 1 Julai tahun ini akan
membabitkan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion.
Di samping itu, hampir 50,000
pesara yang mempunyai 25 tahun perkhidmatan akan menikmati pencen minimum tetap
sebanyak RM950 sebulan. Pegawai kontrak yang telah berkhidmat
sekurang-kurangnya 15 tahun akan diserap ke dalam perkhidmatan tetap. Ini akan
memberi manfaat kepada 10,000 kakitangan kontrak.

Post a Comment