
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana kegagalan mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan di Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Ini termasuk 1MDB dikehendaki menghantar balik wang yang dikirim ke luar negara berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia kepada 1MDB pada tahun 2009, 2010 dan 2011.
Bank Pusat itu dalam kenyataannya di sini berkata, 1MDB juga telah gagal untuk mengemukakan bukti dan dokumen yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memberikan alasan yang kuat berhubung dengan ketidakupayaan 1MDB untuk mematuhi sepenuhnya arahan penghantaran balik ini.
Surat kompaun itu dikeluarkan setelah menerima keizinan daripada Peguam Negara hari ini.
1MDB diberi tempoh sehingga 30 Mei 2016 untuk membayar kompaun tersebut.
"Pembayaran kompaun ini menandakan tamatnya siasatan Bank Negara Malaysia berhubung dengan ketidakpatuhan terhadap peraturan dan pengawalan Bank Negara Malaysia," menurut Bank Pusat itu.
Ia bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kompaun yang perlu dijelaskan oleh 1MDB.
Post a Comment